MATI ialah pengakhiran hidup manusia di dunia yang fana dan satu proses perpindahan roh manusia ke alam barzakh dan alam baqa. Mati ialah satu proses terpisahnya roh daripada jasad dan merupakan perpisahan alam yang realiti ke alam yang mujarad. Kematian akan dirasai oleh setiap jasad yang bernyawa apabila tiba masa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Setiap makhluk pasti akan mati. Ia dinamakan ajal mubram. Masa kematian boleh berubah daripada satu masa ke masa yang lain. Ia dinamakan ajal mu’allaq. Mati adalah penamatan hidup di dunia; dunia yang cukup dikejari dan disayangi oleh manusia. Apabila tiba pengakhiran hidup dengan kematian, ia tidak akan dapat ditangguh atau dipercepatkan. Ia tetap akan berlaku.
Hikmah kematian bukan sahaja pada diri si mati, bahkan juga pada yang masih hidup. Pengakhir riwayat hidup individu mengandungi kebaikan dan bagi yang mati ia sebagai penamatan hidup yang baik (husn al-khatimah) atau penamatan hidup yang penuh keburukan (su’ al-khatimah). Bagi yang hidup, kematian orang lain merupakan satu pengiktibaran, menimbulkan keinsafan untuk mempertingkatkan amalan, bermuhasabah diri dan membuat persediaan yang secukupnya untuk menemui Allah.
Hikmah dan Hakikat Kematian
Dalam Islam, adalah cukup disunatkan mengingati mati. Menziarahi orang sakit, orang nazak, terlibat dalam pengurusan jenazah seperti mandi, solat jenazah, mengiringi jenazah, talqin dan tahlil, semuanya mendekatkan diri kepada Allah dan mengingati mati. Justeru persediaan perlulah rapi bagi mengadap Rabbul Jalil.
Dakwah Rasulullah s.a.w. di Makkah bertembung dengan dua kematian, iaitu kematian bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Saidatina Khadijah r.a. Peristiwa yang berlaku pada tahun kesepuluh kenabian Rasulullah s.a.w ini, sungguhpun menghibakan Nabi s.a.w, namun baginda tetap bersabar dan tabah menghadapi pemergian orang yang disayanginya ini. Pada masa yang sama Rasulullah s.a.w menghadapi pula tentangan hebat Mushrikin Mekah. Namun baginda tidak pula mengaku kalah, bahkan semangatnya semakin kuat. Inilah contoh yang perlu kita ikuti dan teladani. Dengan lain perkataan, hati perlu diperkuatkan walaupun sedih menghadapi kematian saudara terdekat yang tersayang.
Kematian adalah satu kemestian mengikut takdir Ilahi. Mengenai takdir kematian, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian ia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tiada mengandung seseorang perempuan, (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah. Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah.” (al-Fathir: 11)
Ada kematian di sisi Allah yang tidak dinamakan mati, tetapi “hidup” di sisi Allah s.w.t. iaitu orang yang mati kerana perjuangan mati syahid yang tidak menyeleweng. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Ali Imran: 169).